MENU

Girl in a jacket

JASON Tee (kiri) bersama Pengerusi PUMM, Datuk Dr. Teh Tai Yong (dua dari kiri), Fakhruddin Mohd. Ariff (tiga dari kiri) dan Pegawai Daerah Jerantut, Datuk Sharuddin Jali (dua dari kanan) menanam pokok pada Program Komuniti PUMM Mesra Alam Sekitar di Taman Saujana Utama Jerantut di Jerantut, Pahang.

Oleh MOHAMAD SHOFI MAT ISA 3 Julai 2024, 2:06 pm

JERANTUT: Persatuan Usahawan Maju Malaysia (PUMM) buat julung kalinya menganjurkan program penanaman pokok bagi meningkatkan kesedaran orang ramai tentang kepentingan memelihara kawasan hijau demi kesejahteraan rakyat dan kehidupan lestari.

Pengarah Program Komuniti PUMM Mesra Alam, Jason Tee berkata, pokok adalah teras kehidupan dan penanaman tumbuhan ini dapat melindungi alam sekitar dalam pelbagai cara.

"Pokok bukan sahaja penting untuk menjalani kehidupan yang baik tetapi ia sangat bermanfaat untuk menjaga alam sekitar. Nilai dan peranan pokok adalah begitu besar dan kewujudannya adalah penting untuk kelangsungan hidup kita.

"Kami di PUMM membantu mencapai visi strategik melindungi dan memulihkan alam sekitar secara mapan meningkatkan kesejahteraan masyarakat," katanya pada Program Komuniti PUMM Mesra Alam Sekitar di Taman Saujana Utama Jerantut.

Pada program dengan kerjasama Majlis Daerah Jerantut (MDJ) itu, sebanyak 90 pokok berjaya ditanam hasil sumbangan orang ramai dan wakil rakyat setempat.

Majlis perasmian disempurnakan Pengerusi Jawatankuasa Kerajaan Tempatan, Perumahan, Alam Sekitar dan Teknologi Hijau negeri, Datuk Fakhruddin Mohd. Ariff.

Mengulas lanjut, Jason berkata, penanaman lebih banyak pokok untuk masa depan menyumbang kepada global, memulihkan kehilangan hutan, membaiki ekosistem rosak dan mengurangkan perubahan iklim.

"Marilah kita bersama-sama menjadi komuniti pencinta bumi, bekerjasama dengan semangat melindungi dan memelihara alam sekitar," katanya.

Dalam pada itu beliau berkata, walaupun hanya 90 pokok ditanam pada program berkenaan, namun tumbuhan tersebut akan kekal hijau di kawasan itu selagi mana ia tidak mati ataupun dimusnahkan.

"Melalui kerjasama individu, syarikat korporat dan pimpinan setempat serta agensi-agensi kerajaan, ia pastinya mampu menjayakan program penanaman semula pokok dengan lebih progresif dan berjaya pada masa hadapan," katanya. — UTUSAN